-senyuman-

bling...bling

Tuesday, December 21, 2010

Menghormati Bapa

Menghormati Bapa
DaripadaAbu Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Janganlah kamu membenci bapa-bapa kalian. Sesiapa yang membenci bapanya bererti ia kafir.”

Riwayat Muslim

Huraian:

Seorang ibu mahupun bapa tidak akan menjadi ibu dan bapa tanpa anak-anak dan begitulah sebaliknya. Oleh itu ibu bapa berhak mendapat penghormatan daripada anak-anak mereka sama sebagaimana anak-anak mereka berhak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa.

Islam melarang keras anak-anak mencela atau memarahi ibu bapa dengan bahasa yang kasar. Anak yang mengasari ibu bapa dianggap sebagai anak derhaka yang diharamkan syurga ke atasnya oleh Allah S.W.T di akhirat kelak.

Oleh itu bagi mendapatkan anak-anak yang baik, ibu bapa hendaklah terlebih dahulu menunjukkan pergaulan yang baik dengan anak-anak. Apabila anak-anak yang soleh ini dapat dibentuk, tiadalah permusuhan dan perbalahan dalam keluarga. Masing-masing akan saling sayang menyayangi antara satu dengan lain.


Abah tercinta...^_^

Friday, December 17, 2010

Mana Satu Pilihan Hati

Saya bertanya kepada emak, "mak mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang?"

Mak jawab, "dua-dua bukan.."

Saya tercengang. Mak mengukir senyuman.

"Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita kerana Allah.." saya menarik nafas dalam-dalam.

"Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?" Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.

Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya.

"Yang paling tahu hanya Allah.." mak merenung dalam-dalam wajah anaknya.

"Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.." mak menyusun ayat-ayatnya.

"Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjokan oleh seseorang tu.."

Saya memintas, "Tak faham.."

Mak menyambung, "Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah.."

Mak menyambung lagi, "Begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu.."

Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini..

Mak menyambung, "Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki, jodoh dan maut sejak azali lagi. Persoalannya ialah.. siapakah jodohnya itu?" mak berhenti seketika.

Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Emak buat-buat tidak nampak.

"Mak dulu masa muda ada secret admire. Rajin betul dia hantar surat. Masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal. Mak nak belajar sungguh-sungguh. Lama budak tu tunggu mak. Akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak. Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima balasan cinta tu," Mak merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..

"Mak memang tak ada perasaan lansung pada dia ke?" saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak.

Emak ketawa kecil.

"Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu. Mak takut pada Allah. Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain. Mak, seperti kakak.." Mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya. Kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.

"Dulu bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung. Mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu panggil mak dengan gelaran mak Aji. Sebab zaman tu hujung 70-an dan awal 80-an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya. Zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung. Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya.." emak melemparkan pandangan ke lantai.

"Selepas itu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan.." sambung emak.

Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu.

"Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama ada tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah atau tidak. Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat. Besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai anak.." mak menelan air liurnya.

Saya diam. Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.

"Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni. Tetapi kita kena ingat. Kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai. Bercouple mungkin. Tetapi bukan berkahwin. Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali. Dan tak mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya.."

Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah emak.

Emak meneruskan, "Allah itu Maha Adil. Dia tak pernah menzalimi hamba-Nya. Sesungguhnya, yang selalu menzalimi hamba-Nya ialah diri hamba tu sendiri. Sebabnya hamba itu degil. Dia mahukan yang bukan haknya dan yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya.

Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan.

Cuba renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain. Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus. Kita dan dia sama-sama mencari redha Allah. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah. Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya," emak berhenti seketika.

Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya persoalan hati ini.

"Jadi di sini mak nak kamu faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa. Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain. Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang. Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta dia. Kita beritahu pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak ayah adalah kerana mencintai Allah. Dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beritahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata."

"Hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya. Hanya Allah yang boleh memegangnya. Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah. Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah. Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya, rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti."

"Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kamu, terimalah dengan hati yang redha. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kamu sayang, tak jadi hal lah. Tapi kalau dapat yang kamu tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kamu ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kamu sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kamu sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kamu.. Alangkah bertuahnya kamu kalau kamu mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur," sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri.

Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat. "Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah. Sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah untuk Dia pelihara," emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya.

Thursday, December 16, 2010

Kisah Cinta Facebook

Kehadapan suamiku yang aku cintai kerana Allah... hari ni genap setahun aku mengenali dirimu... walaupun melalui Facebook, kita mesra... seolah-olah sudah lama mengenali... rupa-rupanya kamu adalah senior di sekolah dulu...

Mungkin kita pernah bersua, berselisih jalan, beratur di barisan yang sama 10 tahun lepas... namun, siapa sangka siapa menduga... perkenalan yang tidak pernah terjadi 10 tahun lepas... menemukan jodoh kita...

Alhamdulillah... kita ditemukan dengan kemajuan teknologi... melalui Facebook... di bulan syawal... perkenalan yang tidak dirancang...

"Salam... pernah ke kita bersua? Kenapa awak add saya?"

Aku menjawab : "Gerak hati?? Tak tahu nak kata... saya masih di Selangor... awak ni senior sekolah dulu kan?"

"Saya kerja dengan *****. Macam susuh je nak terangkan. Boleh faham ke? Hehe. Jadi, kena panggil abang senior la ni?"

Kami bertukar cerita... dalam 24jam... Kami telah bertukar nombor telefon; berborak dan mendengar suara.

Hanya selepas 3 hari berkenalan, kami berjumpa.

26 September 2009 tarikh keramat.

Di bawah sepohon pokok besar dihadapan rumah sorang kenalan....
Aku bersama kereta aku menunggu penuh debaran disitu... menunggu dia keluar...
Aku gementar... takut juga kalau diperdaya... pengalaman lalu mengajar aku berwaspada...

Soalan pertama yang aku tanya, "mana lesen?"

Maka dia pun menunjukkan lesen international nya( dia baru pulang dari belajar dan bekerja di England)... aku dengan selamba bertanya...

"Mana lesennya? Ini kad pengenalan antarabangsa.."

Dia menjawab dengan yakin, "ada dalam chip tu."

Tidak ku sangka itu lah pertanyaan pertama yang tidak begitu romantis... di pertemuan pertama... dia dengan tenang memasuki kereta dan memanduku ke kedai makan berhampiran...

Kami duduk dan bersembang.. sambil aku minum milo dan dia bersama roti canai kegemarannya... selesai disitu... aku membawanya pulang ke rumah untuk dikenalkan kepada keluarga... dia berborak sambil menonton perlawanan bola bersama abang-abangku...

Tanggal 5 Disember 2009, aku dirisik... kemudian kami bertunang pada 1 Januari 2010 dan alhamdulillah bernikah pada 13 Jun 2010...

Segalanya pantas... namun aku bersyukur dipertemukan jodoh dengan dia...

Kini aku bergelar isterinya... akan aku abadikan segalanya untuk suamiku...

Aku ingin menjadi permaisuri yang bertahta di hati dan jiwanya sepanjang usia hayatnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sebaik-baik isteri itu ialah yang dapat menenangkan kamu apabila kamu melihatnya dan taat kepada kamu apabila kamu perintah dan memelihara dirinya dan menjaga hartamu apabila kamu tiada."

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Setiap wanita itu adalah pengurus sebuah rumahtangga suaminya dan akan ditanyakan hal urusan itu." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Isteri yang mulia ini merupakan sesuatu yang terbaik di antara segala yang bermanfaat di dunia."

Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya wanita yang baik itu adalah wanita yang beranak, besar cintanya, pemegang rahsia, berjiwa kesatria terhadap keluarganya, patuh terhadap suaminya, pesolek bagi suaminya, menjaga diri terhadap lelaki lain, taat kepada ucapan suaminya dan perintahnya, dan apabila bersendirian dengan suaminya, dia pasrahkan dirinya kepada kehendak suaminya itu."

Sesungguhnya perkahwinan ataupun rumahtangga itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh atau yang boleh dipermain-mainkan. Ia adalah suatu ikatan yang menghalalkan yang haram sebelumnya.

Ia memerlukan persefahaman, tolak ansur, saling mempercayai, tolong-menolong, kasih mengasihi seikhlas hati dan sebagainya.

Tanpa itu semua, mana bisa dua jiwa yang berlainan sifat dan sikap mampu mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan dugaan ini bersama-sama. Ia amat mustahil sekali.

Semoga perkenalan di Facebook kekal hingga ke syurga.. aku berdoa kepada-Mu ya Allah.. "kekalkan jodoh ku bersama suamiku hingga ke syurga... jadikan lah aku bidadari suami ku di akhirat nanti..."

Ikhlas dari,
Isteri yang menyayangimu...

- Artikel iluvislam.com

Saturday, November 27, 2010

SEJARAH AYAT KURSI

Ayat ini diturunkan setelah hijrah. Semasa penurunnya ia telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kehebatan dan kemuliaannya.

Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka. Rasullah s.a.w dengan segera memerintahkan Zaid Bin. Tsabit menulis serta menyebarkannya.

Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar rumah atau hendak musafir, insyaAllah akan terpilihara lah dirinya dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah s.w.t.

Mengikut keterangan dari kitab “Asraarul Mufidah” sesiapa mengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, menaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara Ia dari segala bencana dengan izin Allah.

Syeikh Abu Abbas ada menerangkannya, sesiapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditutupkannya air hujan kemudian diminumnya, InsyaAllah Allah akan mencerdaskan akal fikirannya serta memudahkannya menerima ilmu pengetahuan.

Untuk amalan kita semua……

Fadhilat Ayat al-Kursi mengikut hadis-hadis

Rasullah s.a.w bersabda bermaksud :
“ Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kekafiran di depan matanya.

Sabda baginda lagi ; “ umatku yang membaca ayat Kursi , 12 kali pada pagi jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat 2 rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar.”

Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagai mana DIA memelihara Nabi Muhammad.

Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan.

Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri memasuki rumah.

Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika perjalanannya. Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, Insya Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar.

JIka anda berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah tersebut, eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, Insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar dari[pada ganguan lahir dan batin.

Barang siapa membaca ayat Al- Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang malaikat memeliharanya hingga subuh.

Barang siapa membaca ayat al-Kursi diakhir sembahyang fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain.

Barang siapa membaca ayat al- Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memeliharaakan di k etas rumahnya, rumah jiran, dan ahli rumah di sekitarnya.

Barang siapa membaca ayat al-Kursi diakhir tiap-tiap sembahyang fardu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur perbuatan-perbuatan orang yang benar, pahala nabi-nabi juga Allah akan melimpahkan padanya rahmat.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 malikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan menolak baginya.

Barang siapa membaca ayat Kursi diakhir sembahyang Allah azza wajalla akan mengendaikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid.

Barang siapa yang membaca ayat Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Wallahu’ alam……

Sekian Terima Kasih.

Thursday, November 25, 2010

 Guna ilmu pertahankan akidah Islam

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

KELEMAHAN dan kekuatan umat Islam bergantung kepada sikap dan mentaliti mereka dalam mengendalikan urusan kehidupan mereka di dunia ini. Al-Quran dan hadis merupakan rujukan dan panduan kepada umat Islam keseluruhannya.

Apabila umat Islam memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran dan hadis, mereka akan menjadi satu umat yang kukuh dan berwibawa. Konteks ajaran al-Quran dan hadis patut difahami dalam perspektif yang luas merangkumi hal ehwal keduniaan dan akhirat.

Ulama-ulama Islam masa silam mengkaji dan memahami Quran dan hadis secara mendalam. Oleh itu mereka mampu mengawal dan memelihara kesahihan dan kebenaran Islam dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman dan cabaran.

Cabaran terhadap akidah dan ajaran Islam yang dihadapi oleh umat Islam adalah pelbagai. Bagi mengatasi masalah ini umat Islam perlu mengkaji kelemahan-kelemahan yang wujud di kalangan masyarakat secara rasional dan bijaksana.

Cabaran terhadap akidah Islam sering ditampilkan dalam bentuk pemikiran dan kefahaman. Bagi mengatasi permasalahan ini perbahasan dan penjelasan secara rasional dan intlektual adalah diperlukan.

Tindakan radikal dan kekerasan dalam menghadapi cabaran akidah adalah tidak bersesuaian dengan nature atau ilmu pengetahuan. Tindakan begini boleh menimbulkan kesan negatif terhadap kewibawaan Islam.

Perbahasan dan perdebatan berkaitan dengan akidah atau doktrin merupakan fenomena biasa bagi negara-negara maju dan sedang membangun. Pengaliran pelbagai ilmu pengetahuan termasuk ajaran agama, doktrin, ideologi, teknologi dan lain-lain bukan sahaja boleh menjadikan sesebuah negara itu maju dalam teknologi malah ia juga berkembang menjadi pusat pengembangan ilmu pengetahuan dan doktrin.

Umat Islam perlu menyediakan diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang mendalam dan pelbagai supaya setiap pengaliran doktrin dan ideologi yang menular dapat diatasi secara rasional dan hikmah.

Khalifah al-Ma'mun amat berminat terhadap ilmu-ilmu yang menggunakan akal atau logik termasuk falsafah Greek, Sanskrit dan Arab. Ketika pemerintahan beliau pengaliran ilmu-ilmu falsafah daripada Greek dan Rom serta doktrin pelbagai agama menggugat kedudukan akidah Islam berkaitan dengan konsep Tauhid yang dianuti oleh umat Islam.

Ketika ini ulama-ulama Islam begitu tekun mempelajari ilmu-ilmu falsafah, logik dan doktrin agama lain dengan tujuan untuk mempertahan akidah Islam secara rasional dan logik.

Umat Islam dalam negara ini perlu menunjukkan minat yang mendalam terhadap ilmu pengetahuan. Mempelajari ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang boleh membentuk pemikiran dan jiwa yang mantap dan berhemah. Kurang kepakaran dalam ilmu pengetahuan bukan sahaja boleh melemahkan umat Islam dalam mempertahankan akidah dan ajaran Islam malah ia juga boleh menyebabkan umat Islam kurang bijak dalam tindakan.

Ibu bapa dan umat Islam keseluruhannya perlu menanamkan semangat membaca dan berminat mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan sama ada daripada orang Islam atau bukan Islam kerana Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya, "Kalau kamu tidak memahami kejahilan maka kamu akan terlibat dalam kejahilan".

Penulis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Tuesday, November 23, 2010

 Perihal kedudukan Islam di Jepun

SENASKAH Quran yang mengandungi tafsir dalam bahasa Jepun disampaikan kepada tukang catat ini beberapa waktu lalu. Tebalnya 808 muka, bermula dengan surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Nass.
Ia seperti tafsir bahasa Inggeris terbitan kompleks percetakan Al-Malik Fahd di Arab Saudi dan tafsir bahasa Inggeris oleh Abdullah Yusuf Ali serta tafsiran bahasa Melayu melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Jelas bahawa para pemimpin golongan minoriti Islam di negara Jepun tidak ketinggalan dalam segala usaha untuk menegakkan syiar Islam. Hal ini dijelaskan lagi dalam rencana-rencana khas terbitan majalah Amerika, Asia Policy, isu bulan Januari 2008.
Makalah pertama berjudul Islam in Japan: A cause for concern? Yang kedua bertajuk Islam in the Japanese Context dan yang ketiga bertajuk Muslims in Contemporary Japan.
Antara penulis ialah Michael Penn, pengarah eksekutif Institut Shingetsu Pengkajian Hubungan Jepun-Islam. Esei beliau mengkaji sikap warga Jepun terhadap orang-orang Islam yang bermastautin di negeri Jepun dan pelbagai kesannya kepada dasar Amerika serta lain-lain hal. Beliau menyatakan antara lain, beberapa pendapatnya:
* Orang Islam di Jepun menghadapi banyak cabaran dalam masyarakat Jepun akibat imej negatif mengenai Islam yang timbul, terutama laporan-laporan media massa.
* Walaupun menghadapi cabaran demi cabaran namun, masyarakat Islam di Jepun tidak begitu kecewa terhadap warga Jepun.
* Kerajaan Jepun dan masyarakatnya tidak mungkin mengambil sebarang tindakan yang dramatik terhadap golongan minoriti Islam. Ini kerana warga Islam di Jepun tidak begitu ramai dan tidak punyai pengaruh politik.
Menurut Penn selanjutnya seramai kira-kira 14 juta orang Jepun beragama Kristian, iaitu sejak tahun 1549. Anggaran bilangan orang Jepun sendiri yang beragama Islam kira-kira 6,000 orang.
Menurut Penn lagi, di kalangan para pelajar Jepun peringkat sekolah menengah, seramai 75 peratus berpendapat Islam agama yang agresif, 70 peratus berpendapat Islam kurang memberi kebebasan dan 53 peratus mengaitkan Islam dengan negara-negara kurang maju.
Lalu disebut kenyataan Takuo Amir Arai, wakil Persatuan Islam Jepun: “Dalam dunia Islam dewasa ini wujud keadaan seperti peperangan, keganasan, kemiskinan dan kacau-bilau. Inilah yang ditayang oleh televisyen dan oleh itu ramai orang Jepun bersikap negatif terhadap Islam.
Antara cabaran-cabaran utama orang Islam di Jepun ialah mendapatkan makanan halal. Suatu lagi cabaran ialah betapa mahu menunaikan sembahyang lima kali sehari. Satu contoh ialah laporan dalam akhbar Daily Yomiuri mengenai seorang wanita Indonesia berumur 20 tahun yang bekerja di sebuah kilang jahitan dipaksa menandatangani surat berjanji tidak akan bersolat di kilang dan berpuasa pada bulan Ramadan. Namun, orang-orang Islam tidak menyalahkan warga Jepun kerana pelbagai prasangka dan dasar. Ini kerana mereka sebenarnya jahil mengenai Islam atau adat-adat warga asing.
Suatu lagi makalah menyebut mengenai bilangan ramai orang Islam di Jepun ialah lelaki bujang berumur 20 hingga 40 tahun, terutama dari Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan Iran. Mereka datang untuk melanjutkan pelajaran dan bekerja.
Makalah ketiga ditulis oleh Profesor wanita Keiko Sakurai dari Universiti Wasede. Menurutnya bilangan orang Jepun yang memeluk agama Islam telah meningkat secara beransur-ansur walaupun tiada statistik jelas diperoleh.
Mereka terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, lelaki yang mengenali budaya Islam setelah mengkaji agama Islam atau dunia Arab, iaitu semasa merantau, belajar atau bekerja di negaranegara Islam.
Kedua, wanita-wanita Jepun yang berkahwin dengan orang Islam dari negara-negara lain. Kumpulan ini berupa majoriti wanita Islam di negeri Jepun. Profesor Sakurai memberi dua pendapat:
l Orang-orang Islam asing kira-kira 80 hingga 90 peratus penduduk Islam di Jepun. Mereka datang pada pertengahan 1980-an dan awal 1990-an kerana keperluan-keperluan ekonomi. Ramai datang melalui visa waktu singkat dan bekerja secara haram serta mengahwini wanita tempatan.
l Bilangan orang Islam bukan Jepun kira-kira 60,000 hingga 70,000, majoritinya lelaki. Paling ramai ialah orang Indonesia dan diikuti oleh orang Pakistan, Bangladesh dan Iran.
Pada tahun 2004 terdapat 23,890 orang Indonesia, Pakistan (8,610), Bangladesh (10,724) dan Iran (5,403). Majoriti warga Malaysia di Jepun ialah etnik Cina dan bukan Islam.
Profesor Sakurai juga membuat laporan mengenai peranan pelbagai masjid di Jepun, iaitu bukan untuk menunaikan solat sahaja tetapi juga menjadi tempat berkumpul dan bertukar maklumat. Beberapa masjid juga menerima derma dari pertubuhan-pertubuhan dan orang-
orang perseorangan.
Dalam bulan Ramadan pula ramai keluarga Islam datang untuk berbuka puasa, mengadakan kenduri dan selanjutnya menyambut Hari Raya. Oleh kerana harga tanah dan binaan begitu mahal, bangunan-bangunan atau kilang-kilang serta rumah-rumah diubah suai menjadi masjid.
Menjelang tahun 2003 sebanyak 38 masjid telah didirikan dipelbagai wilayah. Masjid baru pertama dibina oleh para pendatang Islam pada tahun 1992. Sebuah lagi diadakan di kawasan kilang manakala pendatang Islam mengambil sebuah bangunan dua tingkat menjadi masjid.
Pada tahun 2000, menurut laporan Profesor Sakurai lagi, Masjid Tokyo dibina semula atas inisiatif jabatan agama kerajaan Turki. Lain-lain masjid kemudian menjadi masjid Jamek untuk sembahyang Jumaat dan lain-lain majlis agama.
Beliau membuat kesimpulan bahawa majoriti orang Islam di negeri Jepun ialah orang asing di Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Iran, iaitu yang dulu datang mencari kerja. Ramai antara mereka kemudian mengahwini wanita-wanita tempatan.
Walhal dari warga Jepun yang Islam sendirilah terbitnya Quran dengan tafsir dalam bahasa Jepun (808 muka). Peranan mereka dalam pelbagai usaha untuk meningkatkan syiar Islam tidak begitu mendapat perhatian sewajarnya dari majalah Amerika. Kenapa kenyataan Takuo Amir Arai dari Persatuan Islam Jepun hanya sebaris saja?
Penulis ialah konsultan
kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.

11 jenis manusia didoa Malaikat

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.
Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat.  Ketika itulah sewaktu kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.
Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."
http://api.ning.com/files/czNgqUQ1z1RNjLJJN5U-xjvuLb1Nn5Wpw49qx-5uYQn82wO*vuRFjDpbKoIXSszB61uim2JOJeKd51*-7s-C0*pLjxplDJxD/4567.bmp

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"
http://farm4.static.flickr.com/3626/3427910878_74316d865f.jpg?v=0

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."
http://www.apisbp.com/wp-content/uploads/2009/08/solat-jamaah.jpg

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEih2AsK1TYmg4bXH6CEG9z0VDrFbN891QINunAvV3zCSQAB2aaFQ52gnS9YqWwnt-7lF8REMMORelZQNI4Ym_cR__Px4E081aVBcxNnv6hulq9lU0gvGt3urDAzQv9vhTszr6mUm1fvD4o2/s320/Al-Fatihah.png

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."
http://maalimfitariq.files.wordpress.com/2009/09/iktikaf21.jpg

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.
"Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"
Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"
subuh-berjamaah.png masjid al akbar surabaya image by detbucket

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"
http://i257.photobucket.com/albums/hh206/3asfuura/Prayers/Trust.jpg

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...' "
http://innerinspiration.files.wordpress.com/2009/10/sedekah.jpg

10. Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."
http://dunianopy.wordpress.com/files/2009/09/sahur.jpg

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh-ZVLocQETcuQvSPG0WwpD63SekvT4t53iZMLcKNcn3pPrDyvprPjhauvUaoqLIIp9xzbt5uM2v3DnDxu6klB_icB5zvWTllQpbYiLAeT4A6mcWwlmtzjCi9S3TtLRK9tX0g6u3MVR-Zsc/s400/KG-Orang+Sakit-19+Mei.JPG
Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. WAllahu'alam. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama. InsyaAllah